Monday, December 8, 2014

Pengenalan Ilmu Fiqh. (Siri 1)




Maksud fiqh :

Fiqh mempunyai dua maksud. Pertama dari segi bahasa dan kedua dari segi istilah. 

Maksud dari segi bahasa. 

Dari segi bahasa , fiqh bermaksud ‘al fahmu’ , iaitu faham. 

Maksud dari segi istilah. 

Maksud dari segi istilah terbahagi kepada dua :

1. Bermaksud pengetahuan tentang ilmu hukum hakam syariat yang berkait dengan perbuatan dan percakapan orang-orang mukalaf berdasarkan kepada sumbernya iaitu Al Quran dan As Sunnah, serta Ijma’ dan Qiyas. 

2. Bermaksud hukum hakam syariat itu sendiri. 

Sebagai contoh , jika anda berkata, “ Aku belajar fiqh.” Iaitu bermaksud anda mempelajari ilmu fiqh syariah yang terkandung dalam kitab-kitab fiqh, yang bersandarkan pada Al Quran dan Al Hadis, ijma para ulama Muslimin, dan ijtihad mereka. 

Antara ilmu fiqh ialah hukum hakam tentang wudhu, solat, jual beli, pernikahan dan susuan , peperangan dan jihad dan selainnya. 

Kesimpulan tentang perbezaan dari segi istilah.

Secara ringkasnya, definisi yang pertama bermaksud PENGETAHUAN tentang hukum hakam syariat, manakala definisi kedua bermaksud HUKUM HAKAM SYARIAT itu sendiri. 

Kaitan antara ilmu fiqh dengan aqidah Islam. 

Antara keistimewaan ilmu fiqh ialah, ia mempunyai kaitan yang cukup erat dengan akidah Islam. Ini adalah kerana, hanya dengan akidah yang kukuh sahaja seorang hamba itu akan mampu melaksanakan segala perintah yang ada dalam masalah fiqh, sama ada ketika senang atau ketika susah. 

Sebaliknya, seseorang yang tidak beriman dengan Allah dengan sebenar-benar keimanan, maka dia tidak akan dapat melaksanakan kewajipan seperti solat, puasa, menjauhi perkara haram dan mengambil perkara halal. Kerana itulah dikatakan bahawa, kemampuan untuk beriltizam dengan syariat Allah ialah salah satu daripada cabang keimanan. 

Ada banyak contoh daripada Al Quran dan As Sunah tentang hal ini. Cukuplah di sini dinyatakan beberapa contoh sahaja. 

1. Allah menyebut tentang solat dan zakat dan mendampingkan selepasnya dengan keimanan pada hari akhirat pada ayat 3 Surah Al Naml. 

" (iaitu) orang-orang yang melaksankan solat dan menunaikan zakat, dan mereka meyakini adanya hari akhirat."

2. Allah memerintahkan umat Islam untuk berpuasa dan mengaitkannya dengan takwa, sebagaimana dalam firman-Nya dalam Surah Al Baqarah ayat 183.

" Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atasmu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa."

Allahu a'lam.

Rujukan : Al Fiqhul Manhaji. 


Disusun oleh :

Muhammad Nabil bin Abdullah
Mahasiswa Tahun 6, 
Fakulti Perubatan, 
Universiti Mansurah.

No comments:

Post a Comment