بسم الله الرحمن الرحيم
Artikel ini ingin menjawab beberapa persoalan.
1. Apakah hukum memakan daging khinzir?
2. Adakah pengharaman hanya pada memakan daging sahaja?
Bagaimana pula dengan lemak, kulit, otak, susu, dan lain-lain anggota badan
khinzir?
Persoalan ini perlu difahami dengan baik kerana pada hari
ini banyak produk makanan dan ubatan yang diperbuat bukan sahaja daripada
daging khinzir bahkan diambil daripada lemak, kulit, tulang, dan sebagainya.
Perbincangan ini ialah ketika seseorang bukan berada
dalam keadaan darurat. Dengan lain perkataan, seseorang itu berada dalam
keadaan mampu memilih atau ( حال
الإختيار) .
Pendapat para ulama.
Tidak ada khilaf di kalangan para fuqaha tentang pengharaman
memakan apa sahaja bahagian anggota tubuh khinzir dalam keadaan mampu memilih (
حال
الإختيار). Maka tidak halal
untuk memakan dagingnya, lemak, kulit, urat saraf ( nerve), tulang rawan, usus,
otak, tulang , kepala, kaki atau tangan, susu, atau apa sahaja daripada anggota
badan khinzir.
Dalil.
Dalil tentang pengharaman memakan anggota khinzir yang
pelbagai dalam keadaan mampu memilih
( حال
الإختيار) adalah bersandarkan
kepada dalil-dalil berikut :
1. Dalil daripada Al Quran :
1. Surah Al An’am, ayat 145 :
قُلْ
لَا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَى طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا
أَنْ يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنْزِيرٍ فَإِنَّهُ
رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ
وَلَا عَادٍ فَإِنَّ رَبَّكَ غَفُورٌ رَحِيمٌ
“ Katakanlah, tidak
aku dapati apa yang diwahyukan kepada-ku, sesuatu yang diharamkan memakannya
bagi yang ingin memakannya, kecuali daging haiwan yang mati ( bangkai ), darah
yang mengalir, daging babi, kerana semua itu kotor, atau haiwan yang disembelih
bukan atas (nama) Allah. Tetapi barang siapa yang terpaksa bukan kerana
menginginkannya dan tidak melebihi ( batas darurat) maka sungguh, Tuhanmu Maha
Pengampun, Maha Penyayang.”
2. Surah Al Maidah, ayat 3 :
حُرِّمَتْ
عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنْزِيرِ
“ Diharamkan bagimu
(memakan) bangkai, darah, daging khinzir..”
Pendalilan daripada kedua ayat ini :
Telah nyata daripada kedua ayat ini tentang pengharaman memakan
daging khinzir.
Para ulama telah menerangkan bahawa pengharaman memakan khinzir
adalah bermaksud diharamkan memakan seluruh anggota tubuh khinzir. Disebutkan
daging sahaja secara khusus dalam kedua ayat di atas tanpa disebut bahagian
lain daripada tubuh khinzir adalah kerana sesungguhnya penggunaan perkataan
daging membawa maksud seluruh anggota tubuh khinzir.
Berkata Ibnu Kasir, “ Sesungguhnya perkataan daging
dinaskan tentang hukum memakannya dalam kedua ayat adalah meliputi seluruh
bahagian tubuh khinzir sehingga kepada lemak. ”
Berkata Al Jusas, “ Sesungguhnya daging khinzir
dinyatakan secara khusus tidak lain tidak bukan membawa maksud seluruh bahagian
tubuh khinzir. Daging khinzir disebut secara khusus adalah kerana ia merupakan
manfaat yang paling banyak diperoleh daripada khinzir. Maka dinyatakan secara
khusus tentang tegahan adalah sebagai penguat tentang hukumnya yang haram, dan juga
pengharaman seluruh bahagian tubuhnya.”
Berkata Al Qurtubi, “ Allah mengkhususkan dalam
menyebut perkataan daging daripada khinzir adalah kerana menunjukkan kepada
pengharaman ‘ain khinzir ( fizikal), dan termasuk juga lemaknya dan tulang-tulang
rawan ada lain-lain. Sekiranya lemak ada bersama daging maka benarlah ia juga
termasuk daripada nama daging. Dengan itu, lemak juga termasuk daripada nama
daging.”
Dalil kedua : Hadis Nabi SAW.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah SAW
bersabda,
واللذي نفسي بيده ليوشكن أن ينزل فيكم ابن مريم عليه السلام حكما
مقسطا , فيكسر الصليب , ويقتل الخنزير , ويضع الجزية , ويفيض المال حتي لا يقبله
أحد .
“ Demi nyawaku di
tangan-Nya, akan berlaku nanti Nabi Isa AS turun kepada kamu sebagai seorang
pemutus hukum yang adil, dan akan meruntuhkan salib, dan akan membunuh khinzir,
dan membatalkan jizyah (tidak diterima dan tidak diberi jizyah), dan harta akan
melimpah ruah sehingga tidak ada sesiapa yang dapat menerima harta.” Hadis
riwayat Al Bukhari dan Muslim.
Cara pendalilan :
Nabi SAW telah mengkhabarkan bahawa salah satu kejadian yang
akan menimpa umat Baginda SAW ialah tentang turunnya Nabi Isa bin Maryam as yang
akan membunuh khinzir. Nabi Isa AS akan turun dengan membawa hukum Islam dan Nabi Isa akan berhukum
dengannya.
Rasulullah SAW telah mengkhabarkan bahawa nanti khinzir akan
dibunuh oleh Nabi Isa as. Sedangkan Nabi SAW juga pernah melarang daripada membazirkan
harta. Maka sepatutnya sembelihan perlu dilakukan kepada khinzir berbanding
membunuhnya kerana pembunuhan pada ketika itu dikira sebagai satu pembaziran.
Maka benarlah bahawa memakan bahagian khinzir adalah haram dan termasuk juga
lemaknya.
Dalil ketiga : Ijma’.
Ramai daripada kalangan ulama umat Islam telah sepakat
tentang pengharaman memakan seluruh bahagian khinzir.
Berkata Imam An Nawawi, “ Telah sepakat umat Islam
tentang pengharaman lemaknya ( khinzir) , darahnya, dan seluruh bahagian
tubuhnya.”
Berkata Al Maqdisi, “ Tidak ada khilaf pada
pengharamannya menurut ahli ilmu.”
Berkata Ibnu Hazam, “ Telah sepakat pandangan para
ulama tentang pengharaman ain (fizikal) khinzir, dan tidak halal memakan sesuatu
daripadanya, sama ada daging, lemak, kulit, urat saraf, tulang-tulang rawan,
usus, otak, tulang, kepala, tangan atau kaki, susu, bulu, jantan atau betina,
begitu juga sama ada yang kecil atau yang tua. ”
Berkata Al Qurtubi, “ Tidak ada khilaf bahawa seluruh
bahagian khinzir adalah haram.”
Allahu a’lam.
Diterjemah dan diolah oleh :
Muhammad Nabil bin Abdullah
Mahasiswa tahun 6
Fakulti perubatan Universiti Mansurah
Mesir.
Rujukan :
1. مواد نجسة في الغذاء والدواء , بحث فقهي
مقارن , الأستاذ الدكتور عبدالفتاح محمود إدريس
2.http://library.islamweb.net/newlibrary/display_book.php?idfrom=4256&idto=4257&bk_no=56&ID=1520
3. http://library.islamweb.net/newlibrary/display_book.php?idfrom=452&idto=460&bk_no=53&ID=80
No comments:
Post a Comment